Thursday 11 August 2016

Entry 1 - The Journey of NUR : Tanah Haram 2014

Assalamualaikum wbt...

Ucapan syukur yang teramat sangat kepada Allah SWT di atas keizinan-Nya telah menjemput saya, mak cik dan sepupu untuk menjejakkan kaki di bumi para Anbiya yang penuh barakah pada tahun 2014. Hadiah terbesar dalam hidup saya apabila dapat menunaikan umrah dengan tajaan. Syukur kepada Allah SWT.

Tiket penerbangan : Saudi airlines

Tanggal 21 Februari 2014 (Jumaat), bermula perjalanan saya, mak cik, sepupu dan jemaah-jemaah yang lain seramai 50 orang dari travel ajen Bahrulmazi Travel & Tour yang beroperasi di Pulau Pinang. Kami berkumpul di Kuala Lumpur International Airport (KLIA) sekitar jam 11 pagi untuk mendengar taklimat dan penyerahan passport yang disampaikan oleh pihak travel ajen. Setelah selesai sesi tersebut, kami membuat pendaftaran masuk secara berkumpulan (group check in). Alhamdulillah semua jemaah berjaya didaftar masuk tanpa sebarang masalah. Selesai sahaja sesi pendaftaran masuk, kami melangkah kaki ke bahagian pelapasan antarabangsa, kami semua diperiksa melalui kawalan sekuriti dan cop passport. Selesai semua urusan pengecopan passport oleh pihak yang berwajib, kami menaiki tren untuk menuju ke Terminal B bagi pelepasan antarabangsa. Perjalanan mengambil masa kurang daripada 5 minit untuk sampai ke Terminal B.

 Saya, mak cik, sepupu dan adik beradik yang lain

Sampai sahaja di Terminal B, saya dan sepupu mencari Surau untuk menjamakkan solat, selesai sahaja solat, saya menukar dari pakaian biasa kepada kain ihram. Alhamdulillah, tepat jam 3.00 petang, kami berlepas menuju ke Mekah. Perjalanan Kuala Lumpur ke Mekah mengambil masa lebih kurang 9 jam. Dalam jam 10 malam, kami transit di Riyadh selama 1 jam, dan meneruskan semula perjalanan ke Jeddah. Bagi jemaah dari Malaysia yang menunaikan umrah terus ke Mekah, maka sempadan terakhir untuk berniat ihram ialah di ruang angkasa Qarnul Manazil iaitu 1 jam sebelum pendaratan pesawat di Jeddah.  

Sekitar jam 11. 45 malam waktu Saudi, kami selamat mendarat di King Abdul Aziz International Airport, Jeddah. Selesai urusan imigresen, kami semua menuju keluar dari terminal. Kami disambut oleh beberapa orang mutawwif untuk menaiki bus menuju ke Mekah. Perjalanan dari Jeddah ke Mekah mengambil masa lebih kurang 1 jam 30 minit. Tiba di perkarangan hotel (saya lupa nama hotel yang kami menginap) sekitar jam 1.00 pagi. Urusan daftar masuk diuruskan oleh pihak travel ajen, alhamdulillah semua bilik telah tersedia untuk kami. Semua jemaah merehatkan diri seketika sebelum menunaikan umrah pertama pada jam 3.00 pagi.  

Tepat jam 3 pagi, semua jemaah telah siap sedia di ruang lobi hotel untuk menuju ke Masjidil Haram. Kembara umrah kami pada malam itu dipimpin oleh pemilik syarikat travel ajensi berkenaan. Ketika perjalanan menuju ke Masjid Al Haram, saya begitu teruja. Tidak dapat nak digambarkan oleh perasaan bagaimana keadaan saya ketika itu. Seronok, gembira, takut semua ada. Ye la, saya hanyalah seorang manusia yang kerdil, yang hina, yang tidak boleh lari dari melakukan dosa. Allah itu Maha Pengampun, Maha Pengasih, Maha Penyayang kepada hamba-hambanya. Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT, saya melangkah masuk Masjid Al Haram dengan perasaan yang penuh kegembiraan. Hanya Allah SWT sahaja yang tahu perasaan saya ketiga menatap Kaabah didepan mata sendiri. Allah hurabbi. Allah Maha Besar.

 Masjidil Haram


 Rindu Tanah Haram : Kenangan Manis ke Rumah Allah, 2014

Alhamdullilah, 30 minit sebelum azan subuh berkumandang, selesai tawaf dan saie untuk umrah pertama kami selesai. Rehatkan diri sekitar Masjidil Haram sebelum menunaikan solat fardu subuh berjamaah. Selesai menunaikan solat subuh, saya patah balik semula ke hotel. SubhanAllah, ketika menuju ke pintu keluar, ramai sungguh lautan manusia yang datang mengabdikan diri kepada Allah.  Mengharapkan keampunan dan keredhaan dari Yang Maha Berkuasa.

 Ruangan atas, sekitar jam 8.30 pagi

Lautan jemaah ketika selesai menunaikan Solat Subuh

Banyak tempat-tempat menarik yang kami lawati seperti Ladang Kurma, Ladang Unta, Jabal Rahmah, Padang Arafah, Mudzalifah dan lain-lain tempat lagi. Cukup satu minggu kami di bumi Mekah, petang Jumaat kami berangkat meninggalkan Mekah sekitar jam 4.00 petang menuju ke Madinah dengan menaiki bus. Perjalanan daripada Mekah ke Madinah mengambil masa hampir 8 jam perjalanan. Sepanjang perjalanan, dapat melihat bukit bukau, gunung ganang yang terbentang luas. Pemandangan yang sangat menarik dan teruja. Sebelum menaiki bas, kami semua membuat Tawaf Wada iaitu Tawaf selamat tinggal.

Ketika di Jabal Rahmah

Selesai melalukan Saie

Masjid Nabawi

Sebelum jam 12 malam, kami menjejakkan kami di Bumi Madinah. Bumi dimana terdapatnya Makam Ya Rasulullah SAW dan para sahabat. Bumi Madinah sejuk dan dingin jika dibandingkan dengan Mekah. Dan bumi Madinah juga lebih tenang dan aman jika dibandingkan dengan suasana di Mekah. Selesai urusan daftar masuk, masing-masing melelapkan diri setelah kepenatan menempuh perjalanan yang panjang. Jam menunjukkan 4.30 pagi, sekalai lagi hati saya begitu teruja yang amat sangat untuk menjejakkan kaki di Masjid Al Nabawi. Wow... terpukau dan terkesima melihat keindahan Masjid Nabawi ketika hampir waktu subuh. Anginnya yang sejuk dan dingin membuatkan diri saya berada di awan-awangan.

Selasai solat subuh, saya dan sepupu berjalan-jalan disekitar Masjid Nabawi. Pelbagai jualan cenderahati yang dijualkan oleh orang-orang Afrika dan Somalia. Pelbagai barang yang menarik dapat dibeli. Sesudah menyenamkan mata-mata kami, kami terus menuju ke hotel untuk sarapan pagi. Sekitar jam 9 pagi, kami dikumpulkan sekali lagi di lobi hotel untuk menziarahi Raudah dan Makan Ya Rasulullah. Alhamdulillah saya berkesempatan menunaikan solat dalam kawasan Raudah sebanyak dua kali. Terlalu ramai manusia yang sedang menunggu untuk memasuki taman syurga tersebut. Seterusnya kami menziarah Makan Nabi Muhammad SAW. Allah Hurabbi, rindunya sangat Rasulullah ketika itu. Hati ini sebak dan sedih. Bagaimana agaknya sekiranya Baginda masih lagi hidup pada ketika itu. Assalamualaikum Ya Rasulullah.

 Taman Syurga, Raudhah

Makam Nabi Muhammad SAW

Selesai menziarahi Makam Rasulullah SAW, saya dan jemah-jemaah lain terus ke kawasan Perkuburan Jannatul Baqi. Perkuburan ni terletak berhampiran dengan Masjid Nabawi. Jannatul Baqi bermaksud Taman Syurga. Dahulu pada zaman Rasul, perkuburan ini dari Masjid Nabawi, tetapi oleh kerana pembesaran masjid yang dilakukan beberapa kali oleh pemerintah, maka perkuburan ini telah jadi bersebelahan dengan pagar masjid. Perkuburan Baqi adalah khusus untuk penduduk Madinah. Rasulullah SAW menjadikan tanah perkuburan ini untuk keluarga dan para sahabat Baginda. Di anggarkan lebih 10 ribu sahabat telah dikebumikan di perkuburan ini. Para isteri Rasul juga semuanya disemadikan di perkuburan ini kecuali Siti Khadijah, makamnya di Jannat al-Maula Makkah.

Kawasan Perkuburan Baqi

Jannatul Baqi

Selesai menziarah ketiga-tiga tempat tersebut, kami balik ke hotel bagi merehatkan diri. Ada dikalangan kami yang masih tinggal di Masjid Nabawi untuk terus beribadah seperti solat duha, solat sunat, membaca Al-Quran dan beri'tikaf di masjid. Saya pada ketika ini mengambil kesempatan untuk melelapkan diri seketika kerana keadaan badan yang kurang selesa, dalam erti kata lain, ke arah untuk demam. Mungkin cuaca bumi Madinah yang terlalu sejuk yang membuatkan saya jadi begitu.  Jam di telefon bimbit menunjukkan 12 tengah hari. Saya turun ke bawah untuk makan tengah hari dan terus ke masjid untuk solat Zohor. Hari pertama di bumi Madinah kami tidak melawat ke mana-mana tempat selain berulang alik dari hotel ke Masjid Nabawi dan kawasan Perkuburan Jannatul Baqi sahaja. 

Perkarangan luar Masjid Nabawi

 Dalam Masjid Nabawi

Dalam Masjid Nabawi

Masjid Nabawi ketika waktu malam

Qubbatul Khadra' (Kubah Hijau Masjid Nabawi)

Hari berikutnya kami menziarahi sekitar tempat-tempat bersejarah di Madinah. Antaranya Masjid Quba. Masjid Quba adalah Masjid pertama yang dibangun oleh Rasulullah SAW pada tahun 1 Hijriah atau 622 Masehi di Quba, sekitar 5 km di sebelah tenggara kota Madinah. Dalam Al-Quran disebutkan bahwa Masjid Quba adalah Masjid yang dibangun atas dasar takwa. “Janganlah kamu bersembahyang dalam Masjid itu selama-lamanya. Sesungguhnya Masjid yang didirikan atas dasar takwa (Masjid Quba), sejak hari pertama adalah lebih patut kamu shalat di dalamnya. Di dalamnya Masjid itu ada orang-orang yang ingin membersihkan diri. Dan sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bersih”. (QS. At Taubah : 108).  

 Masjid Quba

Masjid Qiblatain atau Masjid dua kiblat ini adalah salah satu masjid terkenal di Madinah. Masjid ini mula-mula dikenal dengan nama Masjid Bani Salamah, karena Masjid ini dibangun di atas bekas rumah Bani Salamah. Pada permulaan Islam, orang melakukan Shalat dengan kiblat kearah Baitul Maqdis (Masjidil Aqsa Palestin). Allah menurunkan wahyu kepada Rasulullah SAW untuk memindahkan kiblat kearah Masjidil Haram di Mekkah. Peristiwa itu terjadi pada tahun kedua Hijriah waktu Zuhur di Masjid Bani Salamah ini. Ketika itu Rasulullah SAW tengah solat dengan menghadap kearah Masjidil Aqsa. Di tengah solat, tiba-tiba turunlah wahyu surat Al-Baqarah ayat 144 : “Sungguh Kami (sering) melihat mukamu menengadah ke langit, maka sungguh Kami akan memalingkan kamu ke kiblat yang kamu sukai. Palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram. Dan dimana saja kamu berada, palingkanlah mukamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberi Alkitab (Taurat dan Injil) memang mengetahui bahwa berpaling ke Masjidil Haram itu adalah benar dari Tuhannya, dan Allah sekali-kali tidak lengah dari apa yang mereka kerjakan”. (QS. Al Baqarah : 144).  Dan lain-lain tempat yang bersejarah di bumi Madinah.

Hari-hari seterusnya kami menunaikan ibadat dan memohon keampunan kepada Allah SWT. Sehari sebelum pulang ke Malaysia, sempat la juga saya dan jemaah untuk membeli sedikit kenang-kenangan untuk diberikan kepada adik beradik, saudara mara dan sahabat handai. Banyak juga barang-barang yang saya beli termasuk sejadah, kopiah, jubah dan lain-lain lagi. Harga dan kualiti barang sangat berpatutan. Setelah berjam-jam menghabiskan duit, akhirnya balik hotel untuk makan tengah hari dan kemas-kemas barang untuk pulang ke tanah air.

Tanggal 4 Mac 2014, selesai makan tengah hari dan urusan check out, kami berkumpulan di perkarangan lobi hotel sekitar jam 3.00 petang dan menunggu bas yang akan membawa kami ke Airport Madinah. Hati terasa sedih dan pilu apabila perlu meninggalkan Tanah Suci Mekah dan Madinah. Apa yang boleh diharapakan ketika itu, sentiasa berdoa kepada Allah SWT untuk menjemput lagi menjejakkan kami di bumi para Anbiya ini. Insha Allah, terlalu banyak kenangan indah dan manis sepanjang pengembaraan di Tanah Suci. Hampir jam 5.00 petang kami semua tiba di Price Mohammad bin Abdulaziz International Airport. Semua urusan daftar masuk berjalan dengan lancar. Alhamdulillah tepat jam 9.00 malam kami berlepas pulang ke tanah air tercinta.

 Madinah Airport

Jam 1.00 petang waktu tempatan (waktu Malaysia), selamat mendarat di Kuala Lumpur International Airport (KLIA). Alhamdulillah syukur sangat dengan pengembaraan dan ilmu serta pengalaman yang diperolehi sepanang berada di Tanah Suci Mekah dan dan Madinah. Disambut oleh keluarga ketiba tiba di KLIA. Semoga ada lagi rezeki untuk saya menjejakkan kami di Tanah Haram. Insha Allah.

No comments:

Post a Comment